Azfar Takaful Pilihan Ramai

Risiko Penyakit Jantung Yang Tinggi Dalam Kalangan Milenial

Isu yang Semakin Membimbangkan

Penyakit jantung ialah punca utama kematian di Malaysia. Menurut Statistik Punca Kematian Malaysia 2020, 17.3% lelaki di Malaysia meninggal dunia kerana penyakit jantung iskemia pada tahun 2019. Dalam kalangan wanita pula, penyakit jantung adalah punca kematian kedua paling umum tetapi bilangan kematian tersebut adalah kecil berbanding kematian akibat penyakit pneumonia.

Penyakit jantung – bukan masalah golongan tua sahaja

Kebanyakan daripada kita beranggapan bahawa penyakit jantung adalah suatu masalah yang dihadapi oleh individu yang tergolong dalam kelompok usia ‘tua’ sahaja. Pejabat Pendaftaran Sindrom Koronari Akut – Pangkalan Data Penyakit Kardiovaskular Kebangsaan 2014-2015 menetapkan usia purata golongan yang mengalami serangan jantung di kebanyakan negara maju adalah antara 63.4 hingga 68 tahun. Walau bagaimana pun, usia purata di Malaysia adalah 58.6 tahun.

Meskipun masih lambat lagi untuk golongan milenial mencapai usia purata 58.6 tahun ini, tetapi risiko untuk menghidapi penyakit jantung terus meninggi dalam kalangan generasi muda. Malah, suatu penyelidikan di Amerika Syarikat yang dijalankan oleh Indeks Kesihatan Blue Cross Blue Shield pada tahun 2017 mendapati bahawa golongan milenial (individu yang lahir antara tahun 1981 hingga 1996) mempunyai tahap kesihatan lebih rendah berbanding golongan Generasi X pada lingkungan usia yang sama.

Terdapat pertambahan yang signifikan dalam bilangan individu yang mengalami kemurungan akut, hiperaktif, diabetes jenis II dan tekanan darah tinggi (antara yang lain). Kesemua penyakit ini, secara langsung atau tidak langsung akan menyebabkan masalah kardiovaskular berlaku di kemudian hari.

Statistik ini bukan sahaja terpakai di Amerika Syarikat. Di Malaysia, 35% individu berusia 35 tahun ke atas menghidapi penyakit tekanan darah tinggi, iaitu salah satu faktor risiko utama penyakit jantung. Tambahan pula, faktor-faktor lain yang timbul akibat situasi pandemik COVID- 19, baik wabak itu sendiri, stres, mahupun kurang bersenam, menyebabkan risiko untuk menghidapi penyakit jantung dalam kalangan milenial mengalami peningkatan mendadak sepanjang dua tahun ini. 

Penjagaan jantung untuk golongan milenial

Jangan tunggu hingga esok untuk memulakan rejim penjagaan jantung anda. Walaupun anda merasakan diri anda sihat dan cergas, kami sarankan anda untuk mengamalkan tip-tip penjagaan jantung ini seawal yang mungkin:

  • Permeriksaan kesihatan tahunanan

    Tidak perlu tunggu hingga memasuki usia 40-an untuk mula menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan. Para doktor mencadangkan kita untuk menjalani pemeriksaan ini seawal usia 20 tahun. Jangan risau mengenai kos kerana anda boleh mendapatkan pelepasan cukai untuknya.

  • Mengekalkan berat yang sihat

    Hal ini tidak bermaksud anda perlu menurunkan berat badan atau menjadi kurus. Sebaliknya, anda perlu memastikan berat anda berada dalam lingkungan julat berat sihat yang bersesuaian dengan ketinggian anda. Anda boleh mengekalkannya jika anda mendapatkan jumlah kalori yang betul, makan secara sihat dan bersenam.

  • Menjaga kesihatan anda

    Jangan abaikan masalah kesihatan tersembunyi yang boleh menyebabkan anda menghidapi penyakit jantung. Kesihatan fizikal anda dapat ditambah baik, secara menyeluruh apabila anda menangani masalah-masalah kesihatan ini, makan ubat dan melakukan beberapa perubahan dalam gaya hidup anda.

  • Mengawal tahap stres anda

    Stres boleh memberikan impak yang besar terhadap kesihatan jantung. Malangnya, stres adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun terdapat pelbagai perkara yang anda boleh lakukan untuk mengawalnya termasuklah meditasi, senaman, mendapatkan urutan, menulis jurnal, mendengar muzik atau melakukan aktiviti lain yang menenangkan.

  • Berhenti merokok

    Merokok bukan sahaja menyebabkan ketagihan malah meningkatkan risiko untuk menghidapi penyakit jantung. Tidak mudah untuk berhenti merokok tetapi manfaat kesihatannya sangat banyak.

  • Ketahui sejarah keluarga anda

    Jika sesiapa dalam keluarga ada menghidapi penyakit jantung, anda berkemungkinan mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidapinya juga. Berbuallah dengan keluarga anda dan maklumkan doktor anda semasa sesi pemeriksaan perubatan anda yang seterusnya agar mereka tahu dan boleh memberikan penjagaan yang bersesuaian kepada anda.