5 Tips Kewangan Sebelum Menyambut Cahaya Mata Pertama
Setelah mendirikan rumah tangga, kehadiran cahaya mata pasti merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh pasangan mahupun keluarga kedua-dua belah pihak. Dalam keghairahan menyambut orang baharu dalam keluarga, pasti banyak perkara yang perlu disediakan. Ini bermakna perbelanjaan juga makin bertambah.
Jadi bagaimana caranya untuk anda menyediakan segala persiapan ini tetapi dalam masa yang sama turut berjimat?
1. BERINGAT SEMASA BERBELANJA
Ini merupakan perkara paling penting sekali semasa anda menantikan kelahiran cahaya mata. Tidak dinafikan, setiap pasangan pasti merasa teruja ingin menyambut orang baru. Setiap ibu bapa pasti ingin menyediakan yang terbaik untuk anak mereka.
Tetapi kadang-kadang keterujaan itu boleh membawa kepada pembaziran. Apa kata anda buat senarai barang keperluan bayi agar tidak terbeli benda yang tidak penting pula nanti. Lagipun, selalunya cahaya mata sulung, akan menerima banyak hadiah daripada keluarga serta kenalan rapat yang turut berkongsi kegembiraan ini.
2. SEDIAKAN TABUNG KECEMASAN
Anda semua pasti tahu tentang kepentingan tabung kecemasan bukan? Bagi yang ingin menimang cahaya mata, seeloknya anda menyediakan simpanan yang dapat menampung kos perbelanjaan selama 3-6 bulan.
Manalah tahu sekiranya terjadi sesuatu seperti kemalangan, masalah kesihatan atau komplikasi kepada bayi baru lahir, sekurang-kurangnya anda mempunyai tabung kecemasan untuk menghadapinya. Bukan kita nak perkara buruk itu berlaku, tetapi bak kata orang tua-tua, sediakan payung sebelum hujan.
3. SIGNUP TAKAFUL
Kata orang, malang itu tidak berbau dan setiap ibu bapa pasti ingin melihat anak-anak mereka membesar di depan mata. Tetapi ada yag tidak sempat merasai detik-detik berharga itu. Jadi dengan adanya takaful ini, ia pastinya dapat membantu menampung keperluan anak anda sehingga mereka dewasa kelak.
4. PUSAT TASKA/JAGAAN
Bagi pasangan suami isteri yang bekerja, anda perlu mula melakukan survey tentang pusat jagaan ataupun taska untuk bayi yang bakal lahir itu. Selain daripada faktor keselamatan, kebersihan, dan juga kepercayaan kepada pusat jagaan tersebut, soal harga pasti menjadi persoalan utama bukan? Pastikan ianya bersesuaian dengan bajet bulanan anda.
5. TABUNGAN TAMBAHAN
Setelah si isteri hamil, pasangan perlu menyediakan pelbagai keperluan bukan sahaja untuk bayi, tetapi juga untuk si ibu. Bakal ibu mungkin memerlukan pelbagai jenis makanan tambahan seperti susu, vitamin, pakaian untuk ibu mengandung dan sebagainya.
Jadi pasangan perlu menyediakan sedikit simpanan bagi menampung segala kos yang berkaitan. Bagi pasangan yang beragama Islam pula, anda perlu ingat tentang soal akikah anak anda.
Anak Itu Juga Merupakan Satu Rezeki
Senarai 5 perkara di atas merupakan sebahagian daripada perkara yang kami anggap penting, tapi kami percaya banyak lagi yang tidak tersenarai. Anda juga boleh meminta tips-tips lain daripada kenalan mahu pun ahli keluarga terdekat yang telah pun melalui pengalaman ini. Sekurang-kurangnya anda boleh juga buat persiapan untuk menyambut kelahiran orang baru dalam keluarga. Tahniah kami ucapkan!
Anak itu sendiri adalah rezeki daripada Allah, dan rezeki anak sudah pun ditetapkan sebelum bayi tersebut lahir lagi.
Untuk tahu lebih lanjut mengenai takaful boleh baca HIBAH TAKAFUL dan MEDICAL CARD.
Sumber Rujukan:
www.majalahlabur.com/kewangan