5 Langkah Menuju Kesihatan Kewangan
Wabak coronavirus yang sedang menular sekarang ni menyebabkan semua orang lebih peka tentang penjagaan kesihatan. Kalau ada simptom seperti demam, sakit tekak dan batuk, kita mungkin terus berlari nak jumpa doktor, tapi pernah tak anda terfikir macam mana pula kesihatan anda dari segi kewangan?
Bila kita ada kesihatan kewangan yang baik, maksudnya kita ada cukup duit untuk menampung perbelanjaan harian dan membayar balik pinjaman. Simpanan pun kena ada juga untuk tujuan kecemasan dan keperluan jangka panjang, contohnya untuk bersara dan membeli rumah.
Tapi berapa banyak wang yang anda patut simpan, dan apa lagi yang boleh anda buat dengan wang anda selain daripada membeli tudung terbaru atau pergi makan dengan kawan-kawan?
Berikut lima langkah yang anda boleh ambil untuk uruskan kewangan anda:
1. Tetapkan matlamat kewangan dan buat belanjawan
Belanjawan ialah satu pelan perbelanjaan. Dengan mematuhi belanjawan, anda boleh capai matlamat kewangan dan mengekalkan kesihatan kewangan anda. Mulakan dengan mengenalpasti apa matlamat kewangan anda – Anda nak bersara bila umur anda mencecah 50 tahun, nak beli rumah selewat-lewatnya pada umur 30 atau mungkin nak bebas hutang bila mencapai umur 40 tahun?
Sekarang tiba masa anda buat belanjawan. Tanya diri anda: Apa perbelanjaan saya dan apa hutang yang saya ada? Berapa banyak wang boleh saya simpan? Ada tak apa-apa perbelanjaan yang saya boleh potong? Sentiasa ingat matlamat kewangan anda bila buat belanjawan.
2. Uruskan hutang anda dulu
Senaraikan semua hutang yang anda ada. Bila anda tahu berapa banyak hutang anda yang ada, senang sikit nak rancang bagaimana nak menguruskannya.
Lepas tu, buat keputusan tentang hutang mana yang anda boleh selesaikan dulu.
Ada dua cara untuk melakukannya:
- Settlekan hutang dengan kadar faedah yang paling tinggi.
- Settlekan dulu hutang yang paling sedikit.
Ini namanya kaedah “Debt Snowball” – anda bayar hutang yang paling sedikit dulu, walau apa pun kadar faedahnya. Lepas hutang tersebut dah habis dibayar, anda usahakan pula membayar hutang yang kedua paling kecil. Duit yang anda selalu gunakan untuk bayar hutang yang pertama tadi boleh dijadikan pembayaran tambahan untuk hutang yang kedua. Maksudnya, kalau bayaran balik minimumnya ialah RM100, bayarlah RM200.
Bila hutang anda dah berkurangan, anda taklah terlalu stress sangat. Anda akan ada lebih pilihan bagaimana nak belanjakan wang anda. Akhirnya, anda akan bebas membuat pilihan tanpa terikat dengan bebanan hutang.
3. Kumpul simpanan untuk keperluan kewangan yang berbeza-beza
Dalam senario yang paling ideal, anda patut simpan 20% daripada pendapatan anda ataupun lebih. Tapi kalau anda tak mampu nak simpan sebanyak tu pun takpe. Yang penting, anda dah mula ada tabiat menyimpan, tak kisahlah sekecil mana jumlah simpanan anda pada mulanya.
Sekurang-kurangnya, anda patut sediakan satu dana kecemasan. Inilah wang yang akan menyelamatkan kita kalau berlaku kecemasan — contohnya seperti hilang pekerjaan. Target yang baik ialah simpanan yang cukup untuk anda survive selama tiga bulan. Tanpa dana kecemasan, anda mungkin boleh terjerat masuk ke dalam kancah hutang demi untuk meneruskan kehidupan.
Tapi jangan berhenti simpan wang walaupun anda dah sediakan dana kecemasan. Teruskan simpan wang secara konsisten. Simpanan ini boleh anda gunakan untuk tujuan besar seperti membeli rumah atau pergi bercuti. Gunakan simpanan anda sebagai batu loncatan untuk membina kekayaan.
4. Mulakan Pelaburan
Melabur dapat membantu anda membina kekayaan anda
Untuk sesiapa yang baru nak berjinak dalam bidang pelaburan, aktiviti ini mungkin agak menakutkan sebab kita ambil risiko mungkin akan hilang wang yang dilaburkan. Lagipun melabur ni macam susah je! Tapi sebenarnya ia cara yang bagus untuk membina kekayaan sebab ia memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding menyimpan wang dalam sebuah akaun simpanan.
Sebagai permulaan, anda patut tengok apa jenis produk pelaburan yang ada. Contohnya, anda boleh melabur dalam simpanan tetap, unit amanah atau dana dagangan bursa. Baca panduan dengan teliti tentang pelaburan supaya anda akan jadi mahir tentang selok-belok bidang ini.
5. Pastikan aset anda dilindungi
Dalam membina kekayaan dengan bekerja keras, jangan lupa lindungi aset anda. Benda yang tak diingini macam penyakit atau kemalangan boleh mengorbankan aset anda kalau anda tak ambil langkah sewajarnya untuk melindungi aset anda.
Mengambil polisi insurans/takaful nyawa, insurans/takaful perubatan atau insurans/takaful kemalangan peribadi boleh memberi perlindungan kepada aset anda. Anda juga patut sediakan wasiat. Wasiat bukan saja untuk warga emas – sesiapa yang memiliki aset patut ada wasiat. Apabila seseorang meninggal dunia tanpa membuat wasiat, ahli keluarganya terpaksa melalui proses yang sangat rumit untuk mendapat akses kepada aset si mati. Membuat wasiat boleh melindungi ahli keluarga daripada terpaksa menghadapi kesusahan ini.

Satu pesanan terakhir: Jangan rasa macam anda perlu ambil semua langkah ini pada masa yang sama. Jangan risau. Buatlah langkah demi langkah. Yang penting anda dah berada di landasan yang betul untuk memelihara kesihatan kewangan anda. Mulakan langkah, tanpa lengah!
Kami ada perkhidmatan penyediaan pelan perlindungan yang terbaik mengikut keperluan masing-masing. Untuk mengetahui lebih lanjut, berbual dengan ejen takaful PruBSN hari ini atau hubungi saya [klik sini] dan mula dapatkan pelan terbaik ini.
Sumber Rujukan:
www.multiply.org.my/my/blog